Imam Asy-Syafi’i rahimahullah berkata dalam kitabnya “Al-Umm”:
وأحب
لجيران الميت أو ذى قرابته أن يعملوا لاهل الميت في يوم يموت وليلته طعاما
يشبعهم فإن ذلك سنة وذكر كريم وهو من فعل أهل الخير قبلنا وبعدنا لانه لما
جاء نعى جعفر قال رسول الله صلى الله عليه وسلم " اجعلوا لآل جعفر طعاما
فإنه قد جاءهم أمر يشغلهم"
“Aku
suka jiran si mati atau orang yang mempunyai pertalian keluarga
dengannya (keluarga jauh) memberi makan kepada ahli mayat, yang
mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya. Kerana itu adalah sunnat
dan ingatan (zikir) yang mulia, dan ianya adalah perbuatan golongan yang
baik-baik sebelum dan selepas kita. Ini kerana apabila tiba berita
kematian Ja’far, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Buatlah kamu makanan kepada keluarga Ja’far kerana telah datang perkara
yang mengharukan kepada mereka.” (Al-Umm, dalam Al-Maktabah
Asy-Syamilah, 1/317)
Beliau juga berkata:
وأكره المأتم وهى الجماعة وإن لم يكن لهم بكاء فإن ذلك يجدد الحزن ويكلف المؤنة مع ما ضى فيه من الاثر
“Dan
aku membenci membuat perkumpulan iaitu berkumpul, walaupun dalam majlis
itu tidak terdapat tangisan (ratapan) kerana sesungguhnya perkara itu
(berkumpul) akan mengembalikan kesedihan dan memberikan beban
berdasarkan atsar yang telah lalu.” (Al-Umm, dalam Al-Maktabah
Asy-Syamilah, 1/318)
Yang
dimaksudnya atsar oleh Imam Asy-Syafi’i tersebut adalah atsar yang
diriwayatkan oleh Jarir bin Abdulullah Al-Bajali radhiallahu ‘anhu:
كُنَّا نَعُدُّ الاجْتِمَاعَ إِلَى أَهْلِ الْمَيِّتِ وَصَنِيعَةَ الطَّعَامِ بَعْدَ دَفْنِهِ مِنْ النِّيَاحَةِ
“Kami
mengira berhimpun orang ramai kepada ahli si mati dan membuat makanan
selepas pengkebumiannya adalah sebahagian dari ratapan kematian.” (Hadis
riwayat Ahmad dalam Musnadnya; Syu’aib Al-Arnauth berkata: Sahih dalam
Takhrijnya ke atas Musnad Ahmad, no: 6905)
Imam An-Nawawi Asy-Syafi’i rahimahullah mengulas perkataan Imam Asy-Syafi’i di atas tadi dengan mengatakan:
واستدل له المصنف وغيره بدليل آخر وهو انه محدث
“Pengarang
(Imam Asy-Syafi’i) dan ulama-ulama yang lain berpendapat berdasarkan
dalil yang lain bahawa perbuatan itu (yakni mengadakan perkumpulan)
adalah merupakan perkara yang baru.” (Al-Majmu’, dalam Al-Maktabah
Asy-Syamilah, 5/306)
Beliau (Imam An-Nawawi) juga berkata:
(واما)
الجلوس للتعزية فنص الشافعي والمصنف وسائر الاصحاب علي كراهته ونقله الشيخ
أبو حامد في التعليق وآخرون عن نص الشافعي قالوا يعنى بالجلوس لها ان
يجتمع اهل الميت في بيت فيقصدهم من اراد التعزية قالوا بل ينبغى ان ينصرفوا
في حوائجهم فمن صادفهم عزاهم ولا فرق بين الرجال والنساء في كراهة الجلوس
لها
“Dan
adapun berkumpul untuk takziah, maka Asy-Syafi’i dan pengarang
Al-Musannif, mereka telah menetapkan bahawa perbuatan itu adalah perkara
yang dibenci. Syeikh Abu Hamid telah menukilkan dalam At-Ta’liq dan
ulama yang lain daripada nas Asy-Syafi’i berkata: Yakni duduk takziah
iaitu keluarga si mati berkumpul di rumah, lalu mereka menunggu orang
yang ingin bertakziah. Beliau berkata: Mereka mengatakan: Bahkan
hendaklah mereka beredar pergi untuk berusaha memenuhi keperluan hidup
mereka. Maka sesiapa yang terserempak menemui mereka, maka bolehlah dia
bertakziah kepada mereka. Tidak ada perbezaan di antara kaum lelaki dan
kaum perempuan pada larangan duduk berkumpul untuk bertakziah.”
(Al-Majmu’, dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 5/306)
Demikianlah
sunnah dalam berlakunya kematian adalah memberi makanan kepada keluarga
si mati kemudian mengucapkan takziah kepadanya. Inilah pendapat Imam
Asy-Syafi’i dan jumhur ulama termasuklah kitab-kitab jawi dari ulama
Nusantara juga berpendapat sedemikian. Berikut saya nukilkan beberapa
perkataan ulama Nusantara tersebut:
1 - Dalam Kitab Furu’il Masa’il
“Dan
demikian lagi yang dikerjakan manusia dengan barang yang dinamakan dia
dengan kaffarah dan daripada dikerjakan wahsyah yakni berhimpun memberi
makan awal malam kemudian daripada ditanam mayat dan tujuh harinya dan
dua puluh dan empat puluh dan umpamanya, yang demikian itu haramkah atau
makruh atau harus. (Maka dijawabnya) Maka adalah segala yang tersebut
makruh yang dicela pada syarak kerana tegah pada syarak kata syeikh Ibn
Hajar tiada sah wasiatnya.” (Furu'il Masaail, Syeikh Daud bin Abdullah
Al-Fathani, Juz 1, halaman 183)
2 – Dalam Kitab Sabil Al-Muhtadin
“Dan
makruh lagi bid'ah bagi yang kematian memperbuat makanan yang disukanya
manusia atas makan dia dahulu daripada menanam dia dan kemudian
daripadanya seperti yang telah teradat dan demikian lagi makruh lagi
bid'ah bagi segala mereka yang diserunya perkenankan seruannya.” (Sabil
Al-Muhtadin, Syeikh Muhammad bin Abdullah Al-Banjari, Juz 2, halaman 83)
3 – Dalam Kitab Kasyful Litsaam
“Barang
dikerjakan oleh ahli mayat daripada mempersembahkan makanan dan
perhimpunan manusia atas dahulu daripada tanam mayat dan kemudian lagi
dikerjakan oleh manusia dengan barang yang dinamakan kaffarah dan
daripada dikerjakan wahsyah yakni berhimpun memberi makan awal malam
kemudian daripada ditanam mayat dan tujuh hari dan dua puluh hari dan
empat puluh hari dan umpamanya yang demikian itu yang diperbuat oleh
kebanyakan orang itu maka adalah segala yang tersebut itu makruh yang
dicela oleh syarak kerana tegah pada syarak.” (Kasyful Litsaam, Juz 1,
halaman 85)
4 – Dalam Kitab Bughyat At-Tullab
“Dan
sunnah bagi jiran keluarga mayat dan orang yang berkenalan dengan
keluarganya, jikalau bukan jirannya sekalipun dan segala kerabatnya yang
jauh, membawa makan makanan akan orang yang kematian yang mengenyangkan
mereka itu pada hari dan malamnya (serta) menyungguh-nyugguh akan
mereka itu suruh mereka makan kerana mereka itu terkadang meninggal akan
makan sebab sangat terkejut hati mereka itu….
Dan
makruh lagi bid'ah bagi orang kematian memperbuat makanan menserukan
(menyerukan) segala manusia atas memakan dia, sama ada dahulu daripada
menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang telah diadatkan
kebiasaan manusia. Demikian lagi makruh lagi bid'ah bagi segala orang
yang diserukan dia memperkenankan seruannya.
Dan
setengah daripada yang qabihah lagi makruh mengerjakan dia barang yang
dikerjakan kebiasaan manusia barang dimakan dengan kaffarah dan wahsyah
dan tujuh hari dan empat puluh dan umpamanya yang demikian itu……
Adapun
asal sunnah mensediakan makanan itu pada barang yang dahulunya sabda
Nabi s.a.w tatkala datang khabar kematian saidina Ja'far bin Abu Talib
pada perang mu'tah, perbuat olehmu bagi keluaraga Ja'far makanan maka
sesungguhnya telah datang akan mereka itu barang yang membimbangkan
mereka itu.” (Bughat At-Thullab, Syeikh Daud bin 'Abdullah Al-Fathani,
juz 2, halaman 33-34)
Adapun
amalan membaca Al-Qur’an untuk dihadiahkan kepada si mati. Maka dalam
masalah ini Imam An-Nawawi Asy-Syafi’i rahimahullah menjelaskan tentang
pendapat jumhur dalam mazhab Syafi’i iaitu kata beliau:
وَأَمَّا
قِرَاءَة الْقُرْآن فَالْمَشْهُور مِنْ مَذْهَب الشَّافِعِيّ أَنَّهُ لا
يَصِلُ ثَوَابُهَا إِلَى الْمَيِّت وَقَالَ بَعْض أَصْحَابه : يَصِل
ثَوَابهَا إِلَى الْمَيِّت
“Dan
adapun pembacaan Al-Qur’an, maka yang masyhur dari mazhab Syafi’i
bahawa ianya tidak sampai kepada mayat sedangkan sebahagian sahabatnya
mengatakan: Pahalanya sampai kepada mayat.” (Syarah An-Nawawi ‘ala
Muslim, dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 1/25)
Firman Allah Ta’ala:
وَأَنْ لَيْسَ لِلإِنْسَانِ إِلاَّ مَا سَعَى
Maksudnya: “Dan bahawasanya seseorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya.” (Surah An-Najm: 39)
Al-Hafiz Imam Ibnu Katsir rahimahullah berkata:
ومن
وهذه الآية الكريمة استنبط الشافعي رحمه الله، ومن اتبعه أن القراءة لا
يصل إهداء ثوابها إلى الموتى؛ لأنه ليس من عملهم ولا كسبهم؛ ولهذا لم يندب
إليه رسول الله صلى الله عليه وسلم أمته ولا حثهم عليه، ولا أرشدهم إليه
بنص
“Dan
melalui ayat yang mulia ini, Imam Asy-Syafi’i rahimahullah dan para
pengikutnya mengistinbatkan hukum bahawa pahala bacaan (Al-Qur’an) yang
dihadiahkan kepada orang mati tidak sampai kepadanya kerana bukan dari
amal mereka dan bukan usaha mereka (orang mati). Oleh kerana itu,
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah mensunnahkan umatnya
dan menganjurkan mereka melakukan perkara tersebut, serta tidak pula
menunjukkan kepadanya (menghadiahkan bacaan kepada orang mati) walaupun
dengan satu nas (dalil).” (Tafsir Al-Qur’an Al-‘Azhim, dalam Al-Maktabah
Asy-Syamilah, 7/465)
Al-Haitami rahimahullah yang merupakan ulama dalam mazhab Syafi’i berkata dalam kitabnya Al-Fatawa Al-Kubra Al-Fiqhiyah:
الميت
لا يقرأ عليه مبني على ما اطلقه المتقدمون من أن القراءة لا تصل إلى الميت
لأن ثوابها للقارئ والثواب المرتب على عمل لا ينقل عن عامل ذلك العمل. قال
الله تعالى: وَأَنْ لَيْسَ لِلإِنْسَانِ إِلاَّ مَا سَعَى
“Si
mati tidak boleh dibacakan apa pun berdasarkan keterangan yang mutlak
dari ulama mutaqaddimin (terdahulu) bahawa bacaan (yang pahalanya
dikirmkan kepada si mati) adalah tidak dapat sampai kepadanya, sebab
pahala bacaan itu adalah untuk pembacanya sahaja. Sedangkan hasil amalan
tidak dapat dipindahkan dari amil (yang mengamalkan) perbuatan itu
berdasarkan firman Allah (yang bermaksud): “Dan bahawasanya seseorang
manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya.”
(Al-Fatawa Al-Kubra Al-Fiqhiyah, juz 2, halaman 9; dinukil dari buku
Membela Sunnah Nabawiyah, Jahabersa, halaman 61)
KESIMPULAN
Daripada
keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa
kebanyakan mereka yang mengaku mengikut mazhab Syafi’i sebenarnya mereka
masih jauh dari apa yang dipegang sendiri oleh Imam Syafi’i. Kalaulah
kita benar-benar merupakan pengikut mazhab Syafi’i yang tulen pasti kita
mengikuti pegangan beliau sebagaimana yang telah dikemukakan di atas.
Akan tetapi sebenarnya ramai dari mereka yang tidak tahu kenyataan ini,
bahkan mereka dengan melulu menuduh orang yang mengajak kepada pendapat
Imam Syafi’i di atas adalah sebagai wahabi dan sebagainya. Semoga Allah
membuka pintu hati mereka untuk melihat cahaya kebenaran.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar